Keadaan yang riuh rendah pada masa itu membuatkan
cikgu Suraya tiba-tiba terdiam. Beliau merasa sakit kepala yang teramat sangat.
Beliau terduduk di bangkunya. Haziq dan rakan-rakannya pada masa itu semakin
mengasak-asak cikgu Suraya untuk menjawab soalan mereka. Tiba-tiba sahaja cikgu
Suraya teriak. Diam!, kata cikgu
Suraya kepada anak muridnya dengan nada yang marah. Riak wajahnya berubah
menjadi marah. Lirikan matanya menjadi tajam. Haziq dan rakan sekelasnya
terpaku dan diam. Keadaan di kelas itu menjadi sunyi sepi.
Siapa sangka, cikgu
Suraya yang begitu lemah lembut perwatakannya, secara tiba-tiba sahaja menjadi
seorang yang pemarah. Kelihatan cikgu Suraya pada ketika itu sedang
mundar-mandir, mencari sesuatu di beg galasnya. Beliau mengambil botol ubat
didalam beg galasnya, lalu mengeluarkan beberapa biji pil dan menelannya sambil
meminum air. Beliau kemudian mengurut-urut kepalanya sambil mulutnya
terkumat-kamit seperti bercakap dengan seseorang.
Haziq dan rakan-rakannya
menjadi pelik dan merasa seram bila melihat keadaan cikgu Suraya. Haziq memberanikan dirinya untuk menghampiri cikgu Suraya untuk bertanyakan keadaan
beliau. Dengan perlahan-lahan Haziq melangkah, menuju ke meja cikgu Suraya.
Tiba-tiba lonceng sekolah berbunyi, menunjukkan bahawa masa rehat untuk pelajar.
Cikgu Suraya berdiri lalu memberitahu murid-muridnya,“baiklah murid-murid kelas kita berakhir pada hari ini, masa untuk rehat”,
dengan nada yang halus sambil tersenyum. Haziq dengan pantasnya berlari menuju
semula ke mejanya dan mengarahkan rakan-rakannya untuk berdiri dan berkata, “terima kasih cikgu!”. Cikgu Suraya
tersenyum lalu beredar dari kelas itu. Haziq dan rakan-rakannya merasa pelik
dan tertanya-tanya dengan perwatakan cikgu Suraya yang tiba-tiba sahaja berubah
daripada seorang yang lemah lembut menjadi seorang yang pemarah dan bertukar
semula kepada perwatakan asalnya.
Lalu rakan karib Haziq iaitu Aiman pula
mencelah perbualan mereka, “mungkin
cikgu Suraya itu gila. Sebab aku ada nampak cikgu tengah makan pil, dan
bercakap sendiri-sendiri pula tu!”, kata Aiman. Haziq membantah tanggapan
Aiman dan berkata, “cikgu yang cantik
macam tu mustahil boleh gila. Orang yang tergila-gilakan dia mungkinlah!”. Rakan-rakannya
tergelak dengan kata-kata Haziq. Mereka kemudian beredar dari kelas dan menuju
ke kantin sekolah untuk makan. Sedang Haziq dan rakan-rakannya beratur untuk
membeli makan, mereka terlihat cikgu Suraya sedang berbual-bual di meja makan
bersama-sama guru yang lain. Mereka bergelak ketawa sambil menjamu makanan.
Haziq kemudian menyapa rakan karibnya Aiman dan berkata, “kau tengok tu, tadi bukan main garang sekarang “control” ayu pula!”.
Aiman tergelak dengan kata-kata Haziq sambil menepuk-nepuk bahu rakannya itu.
Sesi rehat pun berakhir, Haziq dan rakan-rakannya kembali semula dan sesi
pembelajaran bermula. Sepanjang perjalanan menuju ke kelas, Haziq masih
memikirkan peristiwa yang berlaku tadi. Setibanya mereka di kelas, cikgu Azman
sudahpun berada di kelas lebih awal daripada mereka. Cikgu azman merupakan
seorang guru yang akan mengajar mereka subjek matematik. Beliau sememangnya
seorang yang kacak dan kemas penampilannya. Boleh dikatakan di sekolah itu,
tiada yang boleh menandingi cikgu Azman.
Haziq dan rakan-rakannya menuju ke
meja masing-masing. Haziq kemudian mengarahkan rakan-rakannya berdiri dan
berkata, “selamat pagi cikgu”. Cikgu
Azman membalas ucapan murid-muridnya, “selamat
pagi murid-murid. Silakan duduk”, kata beliau. Cikgu azman tersenyum dan
memberitahu muridnya bahawa beliau tidak akan mengajar hari ini dan hanya akan
membuat sesi perkenalan. Bersambung….
No comments:
Post a Comment
feel free to drop your comment