Haris bangun agak lewat pada hari itu. Ketukan keras di pintu kamar tidurnya agak mengganggu dirasakan. ‘Haris..! bangun Haris…!, dah nak masuk tengahari ni’ ibunya memanggil dari luar bilik. Agak lama juga matanya cuba menyesuaikan dengan keadaan pencahayaan di biliknya itu. Bilik yang berkeluasan 6 meter persegi dengan 2 tingkap kaca yang terletak bersebelahan katilnya amat selesa dirasakan. ‘ Ya mak, Haris dah bangun ni…!, Haris membalas kata-kata ibunya sambil badannya menggeliat cuba untuk menghilangkan rasa lenguh.
Peluang berbual dengan kawan baiknya pada malam semalam yang juga jiran sebelah rumahnya tidak disia-siakan. Bermula dari topik alam persekolahan yang penuh dengan kejadian lucu, percintaan zaman remaja yang tidak kesampaian sehinggalah keadaan politik Malaysia pada hari ini. Seolah-olah semua isi perbualan tersebut telah disimpan selama setahun dengan susunatur yang cukup baik. Jika dilihat oleh sesiapa, tentu sahaja keadaan mereka pada waktu itu agak lucu. Masakan tidak, sekejap mereka akan ketawa menghilai dan sekejap lagi mereka akan bercakap dengan serius seperti ada kematian yang berlaku.
Ayah dan ibunya faham benar keadaan anaknya yang bila sahaja bertemu dengan Halim kawan baiknya itu, mereka akan berbual tanpa henti, yang adakalanya mencecah sehingga jam 3 pagi atau mungkin lajak ke subuh. Sambil menutup matanya semula, dia tersenyum sendirian mengenangkan semua ini. Segalanya agak sempurna dengan keluarga yang amat memahami, kerjaya yang menarik dan kawan baik yang sentiasa menunggu ketibaannya setiap tahun.
Selesai mandi dan menunaikan solat zuhur, Haris turun ke tingkat bawah untuk makan tengahari bersama keluarganya. Perbualan antara mereka menjurus pada perubahan terkini di Kota Kinabalu yang dikatakan telah mencapai status bandaraya setanding dengan Johor Bahru. Sama ada dari segi pembangunan sepanjang persisiran pantai, pertambahan pelancong luar negara khususnya dari Negara Kpop dan pertambahan pusat membeli belah gergasi telah menarik minatnya.
Terasa agak bangga dia dengan kemajuan yang telah dicapai oleh negeri kelahirannya itu. Oleh kerana dia bekerja di Johor, Haris cuma balik ke kampung setahun sekali dan kebiasaannya dia akan mengambil cuti selama 2 minggu. Kesempatan itu akan digunakannya dengan sebaik mungkin dan sudah tentu dia akan menghabiskan masa berharganya itu dengan keluarganya. Sesekali dia akan keluar dengan kawan baiknya untuk ke tempat-tempat yang biasa mereka biasa kunjungi atau berjumpa dengan kawan-kawan lamanya.
Dalam diam, dia telah merancang yang hari ini dia akan keluar bersama Halim untuk ke bandar bagi menikmati kemajuan yang telah lama bertapak di negerinya dan mencuci mata di pesisiran laut di mana pelancong-pelancong sering menghabiskan masa untuk menikmati keindahan petang. Selesai menghubungi rakan baiknya dan menyatakan rancangannya, dia mula berkira-kira untuk keluar pada petang itu selepas solat asar. Selesai mengenakan pakaian kegemarannya, dia meminjam kereta adiknya untuk keluar pada petang itu. Belum sempat keluar, ibunya muncul dari belakang secara mengejut. ‘ Haris nak ke mana tu?’kan dah petang ni…’
Suara ibunya itu amat mengejutkan Haris dan seketika nafasnya turun naik. Badannya terasa kaku dan fikirannya melayang mengenangkan mimpinya semalam. Berdiri bulu tengkuk dan bulu tangannya pada waktu itu. Hampir sahaja dia meloncat apabila bahunya ditepuk dari belakang. ‘Dah kau ni kenapa Haris , pucat semacam je mak tengok?’…Terlihat sedikit riak kebimbangan di wajah ibunya. Pada masa itu juga ibunya meletakkan tapak tangan ke atas dahi anak sulungnya itu untuk memeriksa keadaan anaknya.
‘Haris…Haris ok la mak’….Haris bersuara perlahan setelah dia dapat menenangkan dirinya sendiri. ‘Betul ni, Haris Ok?’…ibunya bertanya sekali lagi. Haris hanya tersenyum dan terus menuju ke kereta. ‘Haris nak ke mana, kan dah lewat petang ni?’…ibunya menyuarakan kebimbangan yang bersarang di hatinya. ‘Haris nak ke bandar dengan Halim ni, malam nanti balik’. Kereta yang dipandunya meluncur keluar dari perkarangan rumah bersama Halim sebagai peneman.
Mereka berseronok bersama setelah setahun tidak bertemu. Setelah puas berjalan di beberapa pusat membeli belah gergasi di bandar Kota Kinabalu, mereka sambung pula lepak di Pantai Tanjung Lipat yang terletak bersebelahan Sabah Port. Pantai itu memang menjadi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong asing untuk menikmati waktu petang sama ada secara bersenam, berjalan-jalan bersama teman atau menikmati minum petang yang disediakan oleh beberapa gerai di situ.
Haris bertemu dengan rakan-rakan lamanya di situ secara tidak sengaja dan pertemuan itu sudah tentu akan menjadi punca baginya balik lebih lewat dari yang dirancangkan. Kesemuanya bercerita akan hal kerjaya, keluarga dan kejayaan yang ditempa selepas beberapa tahun berpisah. Perbualan yang bermula petang telah menginjak ke Isyak dan sudah tentu solat Maghrib juga telah terlepas. Mungkin masing-masing tidak ingin menunjukkan sifat kehambaan mereka atau mungkin juga sifat sombong pada Allah telah lama bersarang di hati mereka.
Haris menunjukkan sifat dermawannya dengan membayar semua harga makanan dan minuman yang telah ditempah. Mencecah ratusan ringgit kesemuanya, tetapi baginya nilai persahabatan adalah lebih berharga dari semua itu. Setelah berjanji untuk mengadakan pertemuan sekali lagi dab bertukar-tukar nombor telefon, mereka bersalaman untuk beredar balik ke kediaman masing-masing.
Halim menawarkan diri untuk memandu kereta balik tetapi Haris menolaknya dengan alasan belum puas memandu di negerinya sendiri. Pemanduan yang mungkin akan mengubah persepsinya terhadap suasana malam di sana. Setelah meninggalkan kawasan bandar, jalan yang dilaluinya petang tadi mula dirasakan berlainan. Begitu juga dengan Halim yang rasa ragu-ragu dengan tempat yang hendak dituju. Bila berjumpa simpang tiga, hendak masuk ke kiri atau ke kanan pun agak mengelirukan apatah lagi bila berjumpa bulatan. Walaupun papan tanda telah disediakan oleh pihak berkuasa tempatan dan aplikasi waze telah digunakan. Adakalanya kedua sahabat baik ini berbalah sesama sendiri bilamana mereka tersalah haluan.
Haris hilang sabar seketika dan tanpa merujuk pada Halim, dia terus menekan minyak ke arah jam 12 bilamana berjumpa bulatan. Setelah melalui jalan tersebut beberapa lama, baru mereka perasan yang jalan itu semakin gelap dan sunyi. Tiada langsung tanda yang menunjukkan mereka sedang menuju ke taman perumahan Kristal, Tuaran.
Bulu tengkuknya meremang secara tiba-tiba dan perasaan takut mula menghantuinya. Haris mengambil keputusan untuk membuat pusingan U dengan segera dan meninggalkan tempat tersebut yang dirasakannya cukup menyeramkan. Halim hanya mendiamkan diri sambil matanya melilau liar, ke kiri dan ke depan seperti mencari sesuatu. Hati Haris seakan lega bila bertemu semula bulatan tadi, dan segera dapat mengagak jalan yang sepatutnya mereka lalui. Terus sahaja dia masuk ke jalan itu dan memandu dengan agak tergesa-gesa.
Perasaan seram itu lega buat seketika. Haris menjeling rakan karibnya, seperti memberi ‘signal’ agar terus mendiamkan diri. Malam itu terasa amat gelap, lampu jalan pula hanya ada dijalan-jalan yang tertentu. Tambahan pula, hanya terdapat beberapa buah kenderaan selang 50 meter di hadapan mereka. Haris menarik nafas panjang, keringat didahinya belum kering. Haruman bunga-bungaan mulai memenuhi ruangan mobil itu, sangat wangi! Haris dan rakannya berempat mata. Masa pula ruangan mobil itu dipenuhi dengan wangian bunga-bungaan, sedang kereta tingkap kereta itu ditutup rapat?
Mata Haris terbeliak! Wajahnya pucat lesi dan tubuhnya terketar-ketar sebaik melihat cermin pandang belakang. Susuk tubuh seorang perempuan berkelubung kain batik tanpa dapat dilihat wajahnya! Wanita itu duduk kaku, mendiam diri di kerusi belakang. Apa yang lebih menakutkan, persis perempuan itu lah yang acap kali muncul didalam mimpinya baru-baru ini. Dalam mimpi itu, Dengan kukunya yang panjang dan tajam, habis robek wajah dan perutnya dicakar oleh perempuan siluman itu! Masih terasa kesakitannya dan masih jelas kedengaran hilaiannya. Peluh dinginnya mengalir memenuhi wajahnya yang pucat lesi. “Adakah aku berkhayal? Adakah ini benar?” bisik hati kecilnya dipenuhi dengan ketakutan.
Bau-bauan busuk pula mula memenuhi ruangan kereta itu! lalu menghentikan lamunannya, Halim. Dengan tidak semena-mena menyiku bahu Haris beberapa kali. Sambil berbisik bisik ‘ Dah kau ni kenapa, senyap je?’ tu kat belakang tu macam mana…?’. Agak terketar ketar nadanya. Rupanya bukan Haris seorang saja yang nampak makhluk menakutkan itu. Namun Haris berusaha untuk menenangkan dirinya, meletakkan jari telunjuk di bibirnya tanda isyarat meminta Halim untuk senyap. Terkumat kamit Haris mengalunkan bacaan ayat Kursi yang pada mulanya dibaca perlahan sebelum dibacakan kuat.
Ditambah lagi dengan alunan surah Yasin dari pemain CD kereta, makhluk itu menjerit dengan kuat seolah-olah dibakar oleh api yang sangat panas sebelum menghilangkan diri bersama bau busuk yang meloyakan tadi. Namun, mereka berdua masih berwaspada dan tidak sesekali mengendurkan pertahanan. Bacaan ayat kursi masih diteruskan bersama alunan pelbagai surah dari pemain CD kereta. Peluh dingin masih menitis di tubuh masing-masing petanda masih gementar. Masakan tidak, bulu tengkuk mereka masih meremang petanda jelas makhluk tersebut masih mengekori mereka.
Kenderaan yang dipandu mereka terus meluncur laju ke kawasan perumahan Taman Kristal, Sudah jelas. Haris ingin segera sampai ke rumah dan bersembunyi dari makhluk ngeri berkelubung batik. Sesudah meletakkan kereta, tanpa berkata apa-apa mereka berdua terus sahaja masuk ke rumah masing-masing dengan seberapa segera. Haris menarik nafas lega, walaupun jam telah mencecah jam 1230 tengah malam, keluarga Haris masih berjaga semata-mata untuk menyaksikan cerita kegemaran mereka.
Pintu rumah dibuka luas dan tanpa memberi salam, Haris terus naik ke bilik tidurnya yang terletak di tingkat dua. Dia duduk termenung di tepi katil sambil memikirkan apa yang telah terjadi sepanjang perjalanan ke rumah sebentar tadi. Dan yang paling penting, adakah makhluk berkelubung batik itu akan muncul sekali lagi dalam mimpinya pada malam ini.
Agak runsing hatinya pada ketika itu sebelum ayahnya Encik Hamzah masuk ke biliknya sambil memberi salam. ‘Haris pergi mandi dulu dan tunaikan solat Isyak,. Dah selesai semua tu datang jumpa ayah kat ruang tamu’…kata ayahnya dengan tenang. Haris mengikut sahaja apa saranan ayahnya pada ketika itu dan selesai melakukannya, dia terus sahaja turun ke bawah untuk berjumpa ayahnya. Dia duduk di atas sofa bersebelahan tempat duduk ayahnya yang sedang menikmati kopi tengah malam. Agak panjang masa dua beranak itu berborak dan sudah pasti inti patinya menjurus pada apa yang telah berlaku sepanjang perjalanan Haris ke rumah tadi.
Rupa-rupanya makhluk yang mengekori mereka itu telah lama menghantui para pemandu yang sering tersilap jalan ke kawasan pembuangan sampah itu. Dikatakan, makhluk itu asalnya seorang gadis kampung yang telah menjadi mangsa jenayah rogol dan pembunuhan oleh teman lelakinya sendiri . Untuk menutup kesalahannya, mayat gadis malang itu telah dibuang ke kawasan pembuangan sampah berhampiran, sebelum ditemui oleh pekerja kawasan tersebut. Itu pun, sebahagian besar atas kepalanya turut hilang dan masih tidak ditemui sehingga kini. Banyak yang terbabas dan terdapat juga beberapa kematian yang dikatakan berpunca dari ketakutan mereka terhadap makhluk itu. Ayahnya bersyukur kerana Haris dan kawannya berjaya mengawal diri dan seterusnya menyelamatkan diri dari kejahatan makhluk tersebut.
Namun, kemunculan entiti berkelubung batik itu yang acap kali dimainkan dalam mimpi Haris masih menjadi persoalan dan tanda tanya sehingga kini. Adakah ia satu amaran atau suatu petunjuk, mungkin juga entiti itu telah lama mengekorinya atas sebab-sebab yang dia sendiri tidak tahu apa puncanya. Tapi yang pasti, malam ini pasti menjadi malam yang sangat menyeramkan, kerna entiti berkelubung batik itu sedang menunggunya di alam mimpi… HEHEHEHEHEHE!
No comments:
Post a Comment
feel free to drop your comment