Advertisement

Advertisement

Tuesday, June 18, 2019

TEMAN SERUMAH




Pada peretengahan tahun 2000, hampir kesemua pelajar senior Uitm Shah Alam terpaksa berpindah keluar dari asrama Kolej Jati atas dua sebab utama. Yang pertama sebab untuk memberi ruang penempatan pada pelajar junior yang baru masuk dan yang kedua adalah untuk memberi ruang pada pelajar senior yang aktif dalam aktiviti sukan, kebudayaan dan keagamaan.

Antara yang terpaksa berpindah keluar adalah Akim yang telah masuk semester ketiga pada tahun ini. Sedih hatinya apabila permohonannya untuk kekal di asrama tersebut ditolak oleh pihak pengurusan Uitm Shah Alam. Tapi apakan daya, memang Akim dari dulu lagi telah biasa menjauhkan diri dari aktiviti luar dan lebih gemar menjalankan aktiviti permainan video di kafe komputer di seksyen dua. Agak menyesal juga dia kerana menolak ajakan kawan baiknya Syakir yang seringkali mengajaknya untuk menyertai kumpulan nasyid atas alasan aktiviti tersebut bertentangan dengan jiwa mudanya.

Sementara mendapatkan penempatan baru yang bersesuaian, dia terpaksa menumpang di bilik Syakir secara haram. Walaupun dia tahu risiko untuk ditangkap oleh pihak penurusan kolej agak tinggi sekiranya aduan dibuat oleh rakan sebilik Syakir. Bukan itu sahaja, kawan baiknya juga mungkin akan berdepan dengan tindakan tatatertib atas tindakannya yang melanggar peraturan Kolej. Cuma atas rasa simpati dan persahabatan yang telah terjalin selama setahun setengah itulah yang membuatkan Syakir nekad untuk berbuat demikian.

Telah hampir sebulan berlalu, akhirnya Akim terbaca sekeping kertas iklan yang memerlukan teman serumah dengan segera. Dia rasa berminat untuk berkunjung ke rumah tersebut setelah tertarik dengan kedudukan rumah tersebut yang agak berdekatan dengan bangunan PKNS, deretan kedai makan dan tasik Shah Alam. Harga sewa yang ditawarkan juga amat berpatutan dengan statusnya sebagai pelajar dan deposit yang diminta juga tidak terlalu membebankan. Syakir tersenyum sendirian dan mula membayangkan penempatan barunya nanti.

Keesokkan petangnya, selesai sahaja kuliah yang terakhir, Akim dengan tergesa-gesa terus sahaja keluar kelas kuliah. Ketika menuruni tangga barulah dia perasan, Syakir cuba mengejarnya dari belakang. Dia menepuk dahi dengan kuat tanda menyesal dengan perbuatannya sendiri yang meninggalkan kawan baiknya di belakang. ‘Dah kau ni kenapa Syakir, selamba je kau tinggalkan aku kat kelas tadi. Beberapa kali aku jerit nama kau, tapi kau buat tak tau je’…rungut Syakir. ‘Sori lah shak, aku tak perasan tadi. Aku nak tengok rumah sewa petang ni, dah janji ngan bakal teman serumah aku. Itu yang kelam kabut tadi nak keluar’…ujarnya cuba menerangkan pada kawan baiknya.

‘Jomlah teman aku, kita tengok rumah tu sekali’…Akim mempelawa. Mereka bersama-sama turun ke bawah dan berjalan hingga ke tempat meletak motorsikal pelajar bersebelahan dengan kantin Fakulti Jurusan Ukur Tanah.


Tiba-tiba sahaja telefon bimbit Syakir berdering dan dipanggilan itu disambut tanpa berlengah. Dari riak wajah kawannya yang agak kemerah merahan dan dengan nada suaranya yang agak manja, Aris dapat mengagak yang dia akan ke rumah sewa tersebut secara bersendirian tanpa Syakir. Dia tahu, teman wanita baru Syakir agak cantik orangnya tapi dalam masa yang sama agak mengada-ngada. ‘Menyampah pula aku tengok muka gatal dia ni, nasib baiklah kawan baik’ getus Akim dalam hatinya.

Hampir Maghrib barulah Syakir berjumpa rumah sewa yang dicari-carinya itu dan agak lama juga dia berdiri di luar pagar seolah-olah memikirkan sesuatu. ‘ Aku rasa dah lebih lima kali aku pusing taman ni, kenapa sekarang ni baru jumpa’….ujarnya sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Rumah sewa itu agak gelap kerana tidak dipasang lampu, pintu dan jeriji ditutup rapat. Kasut dan selipar tersusun kemas di luar rumah. Keadaan persekitarannya cukup bersih dan terjaga. Tapi, entah kenapa hatinya begitu berat sekali hendak masuk ke dalam apatah lagi untuk tinggal selama satu semester di dalam rumah yang baru ditemuinya ini. Perasaan seram mula menyelubungi dirinya.

Dalam berkira-kira untuk berpatah balik, tiba-tiba sahaja rumah tersebut terang benderang menghilangkan suram yang menyelubunginya. Seorang lelaki yang sebaya dengannya telah membuka pintu rumah dan terus mendapatkannya dengan senyuman yang cukup mesra sekali hingga membuatkan Akim terlupa akan niatnya untuk berpatah balik ke Kolej Jati. Dia dibawa masuk ke dalam rumah dan mereka berbual panjang, setelah semuanya dipersetujui, Akim pun mula berpindah masuk setelah dua hari.

Pada Minggu pertama, keadaan rumah tersebut cukup selesa berbanding penempatannya sebelum ini. Masakan tidak, bilik tidurnya ini cuma dimiliki olehnya seorang tanpa perlu berkongsi dengan sesiapa. Semua peralatan yang disediakan agak baru, khususnya katil kayu yang bertilam empuk dan Kipas siling berjenama. Bilik air juga amat bersih dan air paip agak deras mencurah-curah, sejuknya seperti air gunung. Teman serumah juga mesra dan pandai berjenaka, seolah-olah mereka telah kenal lama berbanding dengan muka teman sebilik Syakir yang agak masam setiap kali bertembung dengannya di dalam bilik.

Dapur yang disediakan juga lengkap segala-galanya. Peti ais besar, peralatan masak berjenama dan meja berserta kerusi kayu. Ruang tamu tidak kurang hebatnya dengan sofa dari kayu jati dan tv nipis berjenama dari negara matahari terbit. Akim agak teruja dengan semua ini dan rasa sangat beruntung. ‘ Kalau macam ni, sampai habis belajar pun aku sanggup duduk menyewa dalam rumah ni’…dia tersenyum sendirian.

Pada minggu yang kedua, keadaan rumah rumah yang selesa dan sentiasa bersih itu mula mengundang persoalan di hatinya. Kerna, tidak pernah dia lihat sesiapa pun yang ringan tulang menyapu sampah atau membersihkan bilik air. Apatah lagi untuk melihat mereka semua di waktu pagi pada hujung minggu, seolah-olah mereka semua muncul hanya pada waktu senja. Kesemua rakan serumahnya ada tiga orang, mustahil mereka mempunyai jadual aktiviti yang sama. Atau mungkin juga mereka ini bukan manusia. Meremang bulu romanya bila memikirkan semua ini. Didikan tegas keluarganya dalam agama menjadikannya sentiasa menunaikan solat lima waktu dan mengamalkan surah tertentu pada setiap hari.
Semua ini menjadikannya lebih yakin untuk berhadapan dengn perkara-perkara yang tidak terduga khususnya berhadapan dengan gangguan makhluk halus


Hujung minggu itu,  Akim dan Syakir telah merancang  untuk keluar memancing bersama di Pelabuhan Klang. Keputusan itu dibuat kerana sudah sekian lama mereka telah tidak keluar bersama sejak Syakir memiliki teman wanita. Mereka berjanji untuk bertemu di kedai makan no.7 Seksyen 2 Shah Alam, lokasi lepak mereka dulu. Akim yang sampai awal terus sahaja memesan teh ais kegemarannya. Sementara menunggu kawannya, terdapat seorang lelaki tua dan dua pemuda berjubah putih memerhatikannya dengan penuh curiga. Akim yang sedar dirinya diperhati hanya tersenyum sumbing dan menundukkan kepala tanda hormat pada mereka bertiga yang dianggapnya alim.

Lelaki tua tadi mula menghampirinya dan meminta kebenaran untuk duduk disebelahnya. Agak serius perbincangan mereka pada ketika itu dan sudah pasti semuanya berkisar tentang krisis yang Akim sedang hadapi pada ketika ini. Muka Akim yang agak pucat bertambah lesu bila berhadapan dengan lelaki tua yang juga dikenali sebagai Tuan Guru Haji Dali di kalangan anak-anak muridnya dan sesiapa sahaja yang pernah meminta pertolongan darinya khususnya dari segi perubatan Islam. Seorang lelaki alim yang amat dihormati kerana ketinggian ilmu agamanya dan akhlak mulia yang dimilikinya.

Selesai sahaja memberikan panduan ringkas dan sedikit pertolongan berupa doa syifa untuk kebaikkannya, Tuan Guru Haji Dali pun berlalu pergi bersama kedua anak muridnya untuk menyelesaikan beberapa perkara penting. Syakir tiba lebih kurang lima minit setelah semua ini selesai. Tanpa perasan akan sebarang perubahan pada wajah Akim, dia terus sahaja mengajaknya ke lokasi memancing mereka di Pelabuhan Klang. Sepanjang masa, Akim berdiam diri sahaja memikirkan apa yang telah diceritakan padanya oleh Tuan Guru Haji Dali berkenaan rumah sewanya sekarang ini. Malam itu  Akim menumpang tidur di Kolej Jati bersama Syakir. Walaupun kawan baiknya itu agak hairan dengan permintaannya, tapi dia menurut sahaja bila melihat keadaan Akim yang seperti ketakutan.


Pada minggu ketiga, Akim kembali semula ke rumah sewanya selepas selesai kuliah sesi petang. Cuma kali ini dia masuk ke rumah tersebut dengan sedikit ilmu di dada. Dia mengamalkan semua petua dan surah al Qur’an yang yang telah diajarkan padanya oleh Tuan Guru Haji Dali. Kali ini dia nekad untuk membuktikan apa yang Tuan Guru Haji Dali katakan padanya benar. Seperti biasa, ketiga-tiga kawan serumahnya akan muncul pada waktu senja cuma wajah mereka kelihatan sedih dan sedikit suram berbanding dengan sebelum ini.

Pada senja seterusnya, rumah yang didudukinya mula hilang serinya dan menampakkan kecacatan fizikalnya. Kelihatan dindingnya mula terlihat kotor dan berlumut. Tandas pula berbau busuk dan hancing seperti telah lama tidak dibersihkan. Sofa pula kelihatan lusuh dan terdapat beberapa kesan koyakan. Lebih mengejutkan lagi, ketiga-tiga kawannya yang baru muncul secara tiba-tiba mula berwajah hitam kebiru-biruan. Memang cukup menakutkan, agak gementar hati Akim pada waktu itu. Peluhnya mulai menitis dan bulu tengkuknya berdiri tegak menandakan ketakutan yang amat sangat.

Kalau ikutkan hati, mahu saja dia melarikan diri pada ketika itu dan menjerit meminta tolong sekuat-kuatnya. Masakan tidak, Salah seorang dari mereka  telah mula menjelir-jelirkan lidah panjangnya pada Akim ketika mereka berdua berbual-bual di ruang tamu. Malam itu, cepat saja dia masuk ke bilik dan mengasingkan diri dari ketiga-tiga ‘teman serumahnya’ sambil membacakan ayat-ayat al Qur’an tertentu sebagai pendinding diri.


Pada senja ketiga, Akim telah mula bersiap-siap untuk keluar. Kesemua barang-barang peribadinya telah pun dikeluarkan pada tengahari tadi, selepas selesai kuliah sesi pagi. Atas keinginan untuk menyaksikan apa yang akan berlaku setelah tiga hari mengamalkan kesemua amalan yang telah disarankan oleh Tuan Guru Haji Dali, dia gagahkan juga dirinya ke rumah tersebut pada waktu senja. Nafasnya tercungap-cungap! Adrenalinnya mengalir begitu deras! Alangkah terkejutnya dia bila melihatkan wajah ketiga-tiga kawannya itu yang amat menakutkan. Bukan itu saja, rumah yang didiaminya ini kelihatan amat usang dan tidak layak untuk didiami.

‘Ya Allah, Ya Tuhanku, kuatkanlah semangatku’…doa Akim dalam hati. Menggeletar tubuhnya dan hampir pitam dibuatnya bila dia disergah oleh salah seorang dari kawan serumahnya. Dengan wajah yang separuh hancur akibat terbakar dan perut terburai, terkejutnya Akim memang bukan dibuat-buat. Seperti biasa, mereka akan berbual-bual di ruang tamu. Kawannya yang menjelirkan  lidah panjangnya semalam kelihatan mula mengeluarkan darah dan nanah dari mulutnya. Sebelah badannya pula telah tiada daging dan cuma tulang kelihatan dengan dipenuhi ulat.

Kawannya yang ketiga pula hanya mendiamkan diri di hujung sofa sambil menjelingnya dengan tajam. Bibir dan giginya kelihatan agak hancur. Manakala keseluruhan tubuhnya telah hancur terbakar sebanyak 80%. Membuatkan Akim risau akan sesuatu berlaku ke atas dirinya. Perlahan-lahan dia bangun dan bersalaman dengan kesemua ‘teman serumahnya’ sebelum menuju ke pintu keluar.

Tiba-tiba sahaja temannya yang duduk di hujung sofa tersebut bersuara. ‘Kau nak ke mana masa maghrib begini? tak takut terserempak dengan hantu ke?’…sambil tersengih dan menampakkan senyuman yang mengerikan. ‘Atau kau dah tahu yang kami ni semua hantu? Hihihihihi!!’…kedua-dua teman serumahnya pula bersuara dengan serentak dan dengan nada yang amat menyeramkan. ‘Allahuakhbar!!!’…Akim menjerit ketakutan. Tapi dia kena fokus, dia kena melarikan diri dari situ dengan segera. Pintu depan yang biasanya tidak berkunci tidak dapat dibuka, manakala ketiga-tiga ‘teman serumahnya’ pula hanya memerhati sambil menjerit serentak’pintu berkunci ke Akim? Hihihihi!!!’.

Secara spontan, Akim melaungkan azan sekuat-kuat hatinya! lantas ketiga-tiga ‘teman serumahnya’ menjerit kesakitan seolah-olah terbakar lalu menghilangkan diri. Keadaan yang terang benderang tadi menjadi gelap gelita, hanya sejalur cahaya dari lampu jalan membantu pandangannya pada ketika itu. Akim tanpa membuang masa terus sahaja mencuba untuk membuka pintu rumahnya sekali lagi dan kali ini berjaya. Terus saja dia keluar dari rumah puaka itu dan bergegas menghidupkan motorsikalnya.





Laju sahaja motorsikalnya meninggalkan perkarangan rumah puaka itu, sebelum pergi lebih jauh dari situ.  ’Akim….Akim…Akim….Janganlah pergi, kau tak kesian dengan kitaorang ke?.’ satu nada suara begitu sinis dan menakutkan, mencoba untuk memujuk rayu kepada Akim. Refleks tubuhnya cukup bersahaja, sukar untuknya mengawal lalu berpaling ke belakang dan melihat sesuatu yang lebih mengerikan. Rumah sewanya itu bukan sahaja buruk tetapi juga hampir separuh terbakar dengan keadaan persekitarannya yang dipenuhi semak samun. Sedang teman serumahnya pula bukan bertiga tetapi ada lebih dari itu sambil kesemuanya melambaikan tangan padanya dan tersenyum. Akim memecut motorsikal selaju-lajunya tanpa berpaling lagi.

THE END









No comments:

Post a Comment

feel free to drop your comment

'JOKER' THE BEST ANTAGONIST, HAUNTED CHARACTER

Dia menghabiskan sisa hidupnya untuk membuat kacau bilau di ‘Gotham City’ ,seorang ‘psychopath’ , juga dilabel sebagai ‘Criminal master...

Advertisement

Followers

komen/cadangan/submit kisah seram anda

Name

Email *

Message *