Advertisement

Advertisement

Friday, September 15, 2017

KISAH BENAR: Waris Kulintangan...

Masih segar diingatan ini semasa aku menyaksikan arwah nenek sedang memainkan kulintangan di luar rumah. Ketika itu aku masih kecil akan tetapi aku sangat tertarik dengan setiap sentuhan muzik yang dialunkan oleh arwah nenek. Perasaan aku ketika itu sangat kosong, seakan-akan dibuai mimpi oleh alunan muzik kulintangan itu. Pada setiap malam, aku akan menemani nenek di beranda rumah dan sebelum beliau mula bertindik, setiap gong-gong kecil itu akan disentuhnya beserta dengan sedikit jampi. Aku pun merasa pelik dengan perbuatan yang sering kali akan dilakukannya sebelum bertindik. Sebaik sahaja menghabiskan bacaannya itu, nenek mula bertindik. Aku akui, nenek sememangnya berbakat. Alunan muzik itu sangat mempersona. Aku benar-benar tak menyangka pada mulanya. Sebaik sahaja nenek memulakan alunan muzik kulintangan itu, seorang demi seorang penduduk kampung mula bertandang ke teratak nenek sambil memerhatikan beliau bertindik. Seluruh penduduk kampung seakan-akan digoda dengan alunan muzik itu…

GAMBAR SEKADAR HIASAN

Semakin rancak nenek bertindik semakin ramai orang kampung bertandang ke rumah. Aku terpalit sama terkesima melihat kehadiran orang kampung ke rumah nenek sehinggalah satu masa, aku merasakan ada sesuatu yang sedang memasuki tubuh ku. Entah kenapa, aku rasa fikiran ku sangat kosong dan badan ku mula mengikut rentak muzik itu. Aku menari tanpa aku sedar, bahkan makcik-makcik yang berada di sana pada ketika itu turut bersama-sama dengan ku menari. Nenek ku hanya tersenyum melihat aku yang sedang menari dihadapannya. Setiap inci tubuh ku menjadi lembut dan aku menari tanpa henti. Padahal, sebelum ini sekalipun aku tidak pernah menghadiri atau mengikuti mana-mana kelas tarian. Tapi memang benar aku katakan, setiap kali aku mendengar nenek bertindik, aku tidak mampu mengawal tubuh ku untuk menari. Fikiran ku sangat kosong pada ketika itu…
Selagi nenek tidak memberhentikan alunan muzik kulintangan itu, selagi itulah tubuh ku akan bergerak untuk mengikut rentak alunan tindik itu. Aku pernah bertanya kepada nenek, “Nek, kenapa ye setiap kali nenek bertindik, Aisyah rasa macam nak menari je. Nenek pakai ilmu apa? Hehe” Aku cuba bergurau-gurau dengan nenek. Beliau hanya tersenyum dengan pertanyaan ku. Sehinggalah aku meningkat dewasa dan ibu mengajak ku untuk tinggal bersamanya, kerana lebih mudah untuk aku melanjutkan pelajaran ku ke sekolah menengah. Walaupun berat untuk aku tinggalkan nenek di kampung, tetapi aku terpaksa demi mengejar impian ku. Namun, bukan bermaksud aku akan terus meninggalkan nenek sendirian di rumah. Setiap hujung minggu atau pun cuti sekolah, aku akan menghabiskan masa cuti ku bersama nenek berbanding ibu yang terlalu sibuk dengan kerjayanya. Namun aku tidak menyalahkan ibu, kerana beliau lakukan itu demi kesenangan kami anak beranak. Ayah ku sudah lama meninggalkan dua beranak, dan telah pun berkahwin. Aku pun kurang jelas dimana punca semua itu berlaku, kerana aku masih kecil pada masa itu. Jadi ibu lah yang bersusah payah mencari wang demi menyara hidup.

GAMBAR SEKADAR HIASAN

Pada satu malam itu, aku lihat nenek sedang membersihkan alat muzik kulintangan itu sambil berbual dengan seseorang. “Aku rasa sudah tiba masanya ilmu ini diturunkan kepada cucu ku. Aku ni mungkin tak lama lagi akan pergi…”  Nenek cakap dengan siapa pula tu? Aku pun hairan melihat tingkah laku nenek. Beliau menoleh ke belakang dan melambaikan tangannya ke arah aku. Tanpa bertanya apa-apa, aku pun duduk bersimpuh di sebelah nenek. “Pegang setiap biji gong kecil ini sambil pejam mata, lepas tu bukak balik”... Dengan perlahan-lahan aku menyentuh setiap gong kecil itu sambil menutup mata. Seram sejuk aku rasa. Tiba-tiba bulu roma ku berdiri seperti ada sesuatu yang sedang menghampiri ku. Aku pun membuka mata dengan perlahan-lahan. Aku terkejut dan terpaku bila melihat satu susuk tubuh yang sangat menyeramkan dihadapan ku! Aku benar-benar tidak mampu membayangkan keadaan wajah si pemilik tubuh itu. “Jangan takut Aisyah, dia ni lah yang menjaga keluarga kita. Dia nak cakap sesuatu dengan kau…” kata nenek kepada ku. Aku memeluk nenek dengan erat dan menutup mata ku dengan rapat. Aku sangat takut pada ketika itu! “Grrrwsxthjfysnsgy…” kedengaran suara lembaga itu seperti cuba untuk menyampaikan sesuatu kepada ku. Ya allah, aku benar-benar takut untuk bercakap apatah lagi untuk membuka mata ku! “Dia cakap, masanya sudah tiba untuk kau mewarisi kulintangan ini. Jaga pusaka keluarga kita elok-elok” kata nenek sambil membelai rambut ku.  Aku tertanya-tanya dengan apa yang cuba nenek sampaikan kepada aku. Mengapa aku yang harus mewarisi ilmu ni?

GAMBAR SEKADAR HIASAN

Aku membuka mata dengan perlahan-lahan, lembaga itu sudah lenyap menghilangkan diri. Nenek kemudian memberikan aku sekeping surat lama bertulisan ayat seperti mantera. “Ini surat ape nek?”… Aku tertanya-tanya apa yang cuba beliau sampaikan kepada aku. “Aisyah baca mantera itu dan dan sentuh setiap gong kecil ini semula”… Lalu, aku membaca mantera itu seperti yang diarahkan oleh nenek. Sehinggalah sentuhan terakhir pada gong kecil itu, badan ku seperti dimasuki sesuatu. Aku seakan-akan tidak mampu mengawal tubuh ku. Aku mengambil kayu itu dan bertindik. Agak aneh bila difikirkan semula, bagaimana aku berkebolehan untuk bertindik? Sebelum ni aku tidak pernah sekali pun belajar atau pun menyentuh kulintangan itu dan malam itu adalah pertama kalinya aku menyentuh dan bertindik. Aku semakin agresif dan tidak mampu mengawal tubuh ku.
Fikiran ku menjadi kosong dan merasa sangat seronok ketika bertindik. Aku berdiri dan menari seperti kerasukan! Hebat sungguh ilmu yang nenek turunkan kepada aku. Lama-kelamaan aku merasa lemah dan pengsan. Aku mulai perasan, ilmu yang diturunkan kepada ku ini adalah saka! Nenek berpesan kepada aku, “Cuba kawal ilmu ini, jangan kamu yang dikawal. Nanti makan diri”… Semenjak malam kejadian itu aku sering bermimpi, mimpi yang sangat menyeramkan! Setiap malam aku akan bermimpi, mimpi yang berulang-ulang dipeluk oleh lembaga yang menyeramkan itu. Aku menjadi fobia dan takut dengan mimpi-mimpi yang aku alami itu. Pernah terdetik dihati ini untuk meminta kepada nenek agar membuang saka ini dari tubuh ku, kerana hampir setiap malam aku akan diganggu. Bukan sahaja dalam mimpi, malahan setiap malam aku dapat merasakan seperti ada sesuatu yang sedang memerhatikan ku. Benar lah apa yang nenek katakan, ‘dia’ ni lah yang menjaga keluarga kita.

GAMBAR SEKADAR HIASAN

Namun apakan daya, hajat ku tidak kesampaian. Nenek akhirnya meninggalkan aku buat selama-lamanya. Sehingga kini gangguan itu masih terjadi dalam diri ku. Sebulan selepas kehilangan nenek, teratak itu terbiar dan usang. Aku dan ibu kini tinggal di bandar. Aku benar-benar merasa tidak tenteram, seakan-akan kulintangan itu cuba menjemput ku untuk datang ke rumah itu. Lalu aku membuat keputusan untuk pergi ke rumah arwah nenek seorang diri tanpa pengetahuan ibu. Aku merasa seperti didorong oleh ‘semangat’ itu untuk ke sana. Aku lihat kulintangan itu berhabuk dan tidak lagi digunakan. Aku membersihkan kulintangan itu sambil mengalirkan air mata ku, terkenangkan saat manis ku bersama arwah nenek. Aku menyentuh setiap gong kecil itu dan membaca mantera yang telah aku warisi. Dengan tiba-tiba, tubuh ku terasa seperti dimasuki sesuatu dan aku mula bertindik seorang diri di rumah itu. Aku merasa fikiran ini sangat kosong dan merasa sangat ghairah setiap kali mendengar alunan muzik kulintangan itu. Aku tidak mampu lagi mengawal tubuhku. Aku merasa sangat terpersona dengan alunan muzik itu dan aku menari, menari seorang diri di rumah itu. Aku adalah, waris kulintangan ini…


-Kisah ini adalah berdasarkan sebuah kisah benar yang benar-benar berlaku yang diceritakan oleh waris kulintangan ini. Penggunaan ayat digubah sedikit bagi menampakkan jalan cerita yang sebenar.

No comments:

Post a Comment

feel free to drop your comment

'JOKER' THE BEST ANTAGONIST, HAUNTED CHARACTER

Dia menghabiskan sisa hidupnya untuk membuat kacau bilau di ‘Gotham City’ ,seorang ‘psychopath’ , juga dilabel sebagai ‘Criminal master...

Advertisement

Followers

komen/cadangan/submit kisah seram anda

Name

Email *

Message *