GAMBAR SEKADAR HIASAN
Sejak aku kecil hingga ke dewasa, aku tinggal bersama nenek. Ayah dan ibu tiri ku tinggal di bandar, kerana bekerja di sana. Mereka pernah mengajak ku untuk tinggal bersama mereka, tetapi nenek ku seringkali menolak pelawaan itu dengan alasan, "Jangan lah korang bawak Farah ni ke bandar, siapa lah kawan aku dekat sini..." , Jadi dipendekkan cerita aku dan nenek ku tinggal lah bersama-sama sehinggalah beliau terpaksa melepaskan aku semasa aku melanjutkan pelajaran ku ke luar daerah ini. Bila ku ceritakan aktiviti seharian ku di kampung, seperti kanak-kanak yang lain juga mempunyai teman dan bermain bersama-sama. Tapi rakan-rakan sekampung aku sangat takut dengan nenek ku, mereka kata nenek aku ni hantu. Aku tak ambil kisah sangat, sebab memang betul. Nenek aku ni sebenarnya membela saka. Tapi oleh kerana aku sudah terbiasa dengan keadaan yang menyeramkan itu, aku seakan-akan lali dengan tingkah laku nenek aku.
GAMBAR SEKADAR HIASAN
Pada mulanya aku memang takut, aku pernah nampak nenek aku sedang duduk bersimpuh di sebuah bilik khas untuk menjalankan upacara penyembahan. setiap malam jumaat, rumah ni akan dipenuhi dengan bau-bauan yang sangat menyeramkan. Bau kemenyan, bau bunga melati, kemboja, semuanya terhidu. Aku masih ingat, ketika itu aku masih budak-budak dan buat pertama kalinya, aku cuba untuk menyelinap masuk ke bilik itu secara senyap-senyap. bilik rahsia itu berada di dalam bilik tidur nenek, jadi aku kena melalui bilik tidur nenek dulu sebelum menuju ke bilik itu. Nenek aku pernah pesan dengan aku, "cu jangan masuk bilik ni tau. Nenek takut kamu pengsan..." ,itulah pesan yang seringkali ku dengar setiap kali malam jumaat. Aku pun teringin untuk melihat apa yang nenek aku buat dalam bilik tu. Aku tolak pintu bilik tu sedikit dan cuba untuk melihat ke dalam ruangan bilik itu. Aku lihat nenek ku sedang duduk bersimpuh menghadap tingkap yang terbuka dan jelas sekali malam itu bulan mengambang. Nenek pada ketika itu sedang mengurut-urut lehernya, lama-kelamaan kepalanya tertanggal dari badan sedikit demi sedikit! .Rupa-rupanya, nenek ku adalah hantu penanggal ! Aku menjadi cemas dan akhirnya pengsan diluar bilik itu.
GAMBAR SEKADAR HIASAN
Aku tersedar dari pengsan dan melihat keadaan sekeliling. Ya allah, aku benar-benar takut dan teriak sekuatnya. Aku lihat susuk kepala nenek berada dihadapan ku dan sedang terapung-apung tanpa badan. Isi perutnya tergantung-gantung menghadap aku! . "Jangan takut cu, kan nenek dah cakap jangan masuk bilik ni. nanti kamu pengsan, sudah kamu jangan takut lagi. Nenek tak kacau kamu pun", kata nenek aku sambil tersenyum kepada ku! . Pada mulanya aku benar-benar takut dengan perubahan nenek ku yang sangat menyeramkan. Itu lah pengalaman ngeri dan menyeramkan pernah ku alami. Namun lama-kelamaan aku seakan-akan sudah terbiasa dan lali dengan kejadian paranormal itu. Sungguh pun nenek ku adalah 'penanggal', namun aku tetap sayangkan dia...
GAMBAR SEKADAR HIASAN
Aku tahu, setiap malam jumaat nenek ku pasti akan berubah menjadi penanggal dan meninggal aku bersendirian di rumah bersama tubuhnya yang ditinggalkannya di bilik itu. Aku menyelinap masuk ke bilik rahsia itu dan melihat keadaan sekeliling di ruang bilik itu. Aku lihat ada sebuah tempayan yang berisi cuka. selain itu aku juga melihat susuh tubuh nenek aku tanpa kepala sedang duduk bersimpuh menghadap tingkap yang terbuka. ku lihat ada sekeping kertas seperti bacaan mantera yang berkemungkinan bacaan yang selalu nenek ucapkan sebelum menjadi hantu penanggal. entah kenapa aku tidak mampu mengawal fikiran ku pada ketika itu, tergerak hati ku untuk menyebut mantera itu, "Sang bulan, sang malam... Berdamping dengan ku. Semanis darah, semanis darah..." belum sempat aku habiskan mantera itu, badan ku terasa sangat panas... Leher ku gatal seperti digigit ribuan semut dan aku pengsan...
Semenjak kejadian itu, badan aku akan terasa panas dan leher ini seperti digigit semut pada setiap malam jumaat. "cu... kenapa baca mantera tu, sabarlah masa kamu akan tiba. cuma kamu sorang sahaja waris nenek"... Aku masih ingat kata-kata ni. Aku pun hairan dan tertanya-tanya dengan apa yang dikatakan oleh beliau, memandangkan aku masih kecil pada masa itu. Sehingga kini, gangguan itu masih ada cuma tidak sekuat dulu. mungkin disebabkan aku sudah berjauhan dengan nenek dan cuma akan balik ke kampung setiap cuti semestar. Bila ku ingat kembali, wajah nenek langsung tidak berubah sehingga sekarang. sedikit pun kulitnya wajahnya tidak kendur, mungkin disebabkan ilmu yang dimilikinya. dan kini, kami sekeluarga menyaksikan nenek sedang nazak di kampung. Aku memeluk dan mencium nenek sambil mengalirkan air mata. Aku benar-benar sedih bila melihat keadaannya seperti itu, aku anggap nenek ku seperti ibu kandung ku sendiri. Setiap masalah yang aku hadapi, pastinya nenek akan bersama-sama aku walaupun sehingga kini.
Waktu tu lebih kurang jam 5 petang dan malam ni merupakan malam jumaat, kami sekeluarga berkumpul dan membacakan yassin untuk nenek ku yang sedang nazak. Aku berada disampingnya sebelum detik-detik terakhirnya akan tiba. "cu...Nenek nak pergi dah ni. Boleh nenek minta tolong buat kali yang terakhir?"... bisik nenek aku dengan suara yang agak kurang jelas untuk didengari. Aku pun bertanya kepada beliau apakah hajat terakhirnya itu. Nenek meminta aku untuk mengambil saka ini, jika tidak agak sukar baginya untuk pergi. Aku terkejut dengan permintaan terakhirnya itu! Aku benar-benar tidak menyangka bahawa selama ini aku adalah orang yang bakal mewarisi ilmu penanggal ini. "Tolong cu...Ambil saka ni...Nenek nak pergi"... Fikiran ku tak menentu pada masa tu, aku benar-benar tak mampu melihat nenek tersiksa sedemikian. lalu aku berbisik di telinga kepada nenek ku, "Iya nek, farah setuju"... Nenek ku tersenyum melihat ku lalu membaca sesuatu, terkumat-kamit mulutnya. Beliau kemudian menyapu muka ku dan menghembuskan nafasnya yang terakhir...
GAMBAR SEKADAR HIASAN
"Nenek! Jangan tinggal kan Farah! Nenek!"... Aku menangis tanpa henti dan memeluk tubuh nenek dengan kuat. Aku benar-benar tak sangka nenek sudah meninggalkan ku. Ayah dan ibu tiri ku cuba untuk menenangkan aku. Pada hari tu juga nenek ku dikembumikan di tanah perkuburan kampung ini. Aku tidak bersama-sama mereka menuju ke tanah perkuburan, sepanjang hari itu aku berada di bilik nenek sambil menghidu dan memeluk bantal kegemaran nenek. Malam itu lebih kurang jam 9 malam, penduduk-penduduk kampung datang ke teratak nenek bagi menghadiri majlis tahlil arwah nenek. Gangguan yang dahulunya sudah beransur pulih, kini datang semula menghantui ku. Tubuhku terasa sangat panas, leher ku gatal segatalnya. Ku dengar seperti ada bisikan daripada bilik rahsia itu. "Mari...Aku tunjukkan kepada mu kuasa. Kekuatan yang belum pernah kau miliki"... Aku seakan-akan tidak mampu mengawal tubuh ku, fikiran ku menjadi kosong. Setibanya aku di bilik itu, tubuhku bergerak seperti dikawal sesuatu. Aku duduk bersimpuh, dan membaca mantera itu. "Sang bulan, Sang malam... Berdamping dengan ku. Semanis darah, semanis darah..."
No comments:
Post a Comment
feel free to drop your comment