Teringat kembali sebuah kisah tragedi yang sangat
memilukan hati. Aku melihat arwah atok aku terlantar di sebuah katil diruang
tamu rumah pusaka ini, badannya berlumuran dengan darah yang banyak dan seluruh
tubuhnya seperti dicakar-cakar oleh ‘saka’ yang sedang kelaparan! Ya allah
engkau berkati dan rahmatilah roh atok aku. Walaupun kejadian itu sudah lama
berlalu, tetapi ilmu silat hitam yang atok wariskan kepada ku seakan-akan
memaksa tubuh ku untuk menerima ilmu itu! Tetapi aku cuba untuk melawan godaan
itu dan sentiasa berdoa kepadaNya agar menjauhkan aku daripada perbuatan yang
menyekutukanNya!
“Megat, mai sini. Atok ada nak tunjuk sesuatu dengan
kamu” Masih segar diminda ku melihat Atok menunjukkan kepada ku silat cekaknya
yang sangat dikenali oleh orang-orang kampung. Mungkin aku adalah orang yang
cukup bertuah walaupun sedikit menakutkan bila melihat atok menunjukkan ilmu
kebatiannya kepada ku. Dengan sekali libas sahaja menggunakan tangannya, pohon
jambu itu putus terbelah dua! Ya allah, adakah benar ini kekuatan atok ku yang
berusia 70 tahun atau mungkin kekuatan itu dibantu oleh saka sehingga mampu
melakukan sedemikian rupa! Atok ku seakan-akan menaruh harapan kepada ku. Aku
lihat kesungguhannya untuk mengajar ku tentang ilmu silat. Aku tidak meragui
pada ketika itu dan hanya beranggapan bahawa ilmu silat ini juga penting untuk
mempertahankan diri.
Sepanjang aku mepelajari dan berlatih dengan Atok, aku
dapat rasakan seperti ada sesuatu yang sedang memerhatikan kami! Pernah sekali
aku melihat kelibat harimau lalu ketika kami berlatih di tepi sungai tapi
hilang begitu sahaja. “Kamu jangan takut, ilmu ini bakal aku turunkan kepada
kamu” Sehinggalah pada malam terakhir aku berjaya menguasai ilmu silat ini
sepenuhnya. Aku dan atok duduk bersimpuh di sebuah batu besar dan ada sungai
yang mengalir jernih di bawahnya. “Megat, kamu tahu kan atok ni dah tua?” satu
persoalan yang cuba memberikan gambaran tersirat disebaliknya. “Kau cuba lihat
dihujung semak tu” Apehal pula orang tua ni. Memalam buta macam ni nak takutkan
aku! Serius, rase nak pitam masa tu, seekor harimau keluar dari semak itu dan
menghampiri kami! Aku tergamam dan tak terkata pada masa itu! Matanya merah
menyala! Dan sangat besar! “Ini adalah warisan keluarga kita, sama ada kamu nak
atau tak benda ni yang akan menjaga dan menemani kamu. Sehinggalah waktunya
tiba untuk diturunkan kepada generasi seterusnya” “Ingat pesan atok, setiap
malam jumaat benda ni akan lapar dan akan mencari tuannya untuk memberikannya
makan. Kalau tidak, tuannya akan jadi santapannya!”
“Mengapa atok harus memilih aku bagi mewarisi ilmu
hitam ini? bukankah ayah lebih layak untuk mewarisi ilmu ini?” Aku bertanya
kepada atok seperti tidak mempercayai bahawa selama ini akulah yang bakal
mewarisi ilmu ini! “Bukan atok yang pilih engkau Megat, ‘dia’ yang memilih
engkau untuk mewarisi ilmu ini” Aku tersentap dengan penjelasan atok. Mungkin
benar apa yang atok katakan, ayah ku terlalu sibuk dengan kerjaya dan langsung
tidak berminat sedikitpun tentang ilmu ini apatah lagi cuba untuk mewarisi ilmu
yang sudah sebati dengan darah daging keluarga kami. Aku terdiam tanpa berkata
apa-apa.
Teringat dulu semasa aku masih kecil berlaku satu
kejadian di hadapan teratak ini. Seorang guru silat di kampung seberang dan
beberapa orang lagi anak muridnya bertandang ke rumah ini, menyatakan rasa
tidak puas hati hanya disebabkan ilmu silat yang diajarkan oleh atok kepada
orang-orang kampung sangat digemari. “Hoi Munir! Apa yang hebatnya ilmu pasal
ilmu engkau? Aku nak cabar kau!” kelihatan pada masa itu orang kampung mula
membanjiri ruang halaman rumah menyaksikan perbalahan itu. Atok aku sememangnya
orang yang sangat penyabar, memula sekali dia cuba untuk menolak ajakan itu. Tetapi
keadaan menjadi tegang selepas anak-anak muridnya cuba untuk membakar teratak
ini! Atok turun ke halaman rumah disaksikan oleh berpuluh-puluh orang kampung. Masih
teringat dan terbayang aku melihat wajah atok seperti dirasuk! Wajahnya
bertukar, seperti jelmaan harimau yang sedang kelaparan! “Kau melangkah sekali,
kau mati!” kata Atok, nada suaranya seakan-akan tidak ku kenali lagi. Sangat menakutkan!
Mereka mula membuka langkah silat. Ternyata mereka
sedang bermain ilmu hitam! Aku lihat atok terbatuk dan mengelurakan darah
dimulutnya! Atok seakan-akan ingin rebah tetapi cuba untuk bertahan. Guru silat
itu tersenyum dan ketawa sekuat-kuatnya! “Hahaha. Ini yang kau katakan hebat? Siapa
lebih hebat?” satu nada yang cukup angkuh dan bangga dengan ilmunya. Guru silat
itu cuba untuk melangkah di hadapan atok aku. Hanya dalam sesaat aku rasakan,
guru silat itu kaku berdiri, tubuh dan wajahnya dipenuhi darah yang sangat
banyak! Bajunya koyak rabak seperti dicakar! Benarkah itu ilmu yang atok
amalkan selama ini? aku sangat kagum bila melihat kejadian itu yang berlaku
hanya dalam sekelip mata!
Mungkin sudah ketentuanNYa, sehebat mana pun kita,
Allah lebih berkuasa. Atok aku terlantar sakit, aku lah yang bertugas bagi
memberikan ‘saka’ itu makan di tepi sungai. Aku masih ingat pesan atok ketika
terlantar sakit “Megat…Kamu tolong atok ye. Tolong beri ‘dia’ makan di tepi sungai.
Atok tak mampu lagi” Setiap malam akan aku berikan ‘saka’ itu makan, seekor
ayam hitam pada setiap malam jumaat. Serius memang seram masa memula bagi
lembaga tu makan. Renungan matanya yang tajam dan merah, sangat menakutkan! Aku
cuba untuk memberanikan diri, aku tahu ‘dia’ tidak akan mencederakan aku. Sehinggalah
malam jumaat yang terakhir bila Atok menghembuskan nafasnya yang terakhir
disaksikan oleh kami sekeluarga. Tragedi yang menakutkan dan mengerikan.
Sebelum atok menghembuskan nafasnya yang terakhir kali, beliau meminta kami
untuk membuka setiap pintu dan tingkap di rumah itu. Aku perasan seperti satu
lembaga hitam sangat pantas masuk melalui pintu rumah ini. Saka itu memakan
tuannya sendiri! Tubuh atok ku dirobek dan dicakar! Berlumuran darah di
katilnya! Sungguh kejam sekali!
Walaupun sudah bertahun Atok meninggal, tetapi
peristiwa itu tetap ku ingat sampai bila-bila. Ada satu-satu masa aku rasa
seperti tidak sedar ketika mempraktiskan ilmu silat cekak harimau ini, aku rasa
tubuh ku seperti dimasuki sesuatu! Seakan-akan ‘dia’ cuba untuk menghinap di
tubuh ku. Aku dapat merasakan kekuatan ilmu itu! namun aku cuba untuk
menolaknya daripada berdamping dengan ku. Setiap malam jumaat aku sering kali
melihat, kelibat harimau itu berlegar-legar di luar rumah, menanti kehadiran ku
untuk berdamping dengannya…
?
ReplyDelete