Angin bayu meniup lembut diwaktu petang, Naim berjalan
seorang diri di tepi pesisir pantai. Setiap langkahnya terbenam di pasir
meninggalkan kesan sepanjang perjalanan. “Arghhh! Segarnya! Bisik hati kecil
Naim. Dia seketika berhenti, memandang menghadap laut, mengakui kebesaranNya.
Indah sungguh ciptaanNya. Naim
membenamkan lagi kakinya pada pasir putih itu, membiarkan kakinya dimamah pepasir
basah sehingga ditenggelami buku lalinya. Naim tersenyum, menguntumkan senyuman
yang melebar sehingga jelas kelihatan barisan giginya yang putih. Manusia
bukanlah ‘haiwan robotik yang tidak punya rasa dan jiwa. Naim memanfaatkan cuti
yang telah diberi oleh majikannya untuk menenangkan jiwa raganya, bercuti di
sebuah resort yang cukup dikenali di Malaysia.
Kedengaran suara kanak-kanak sedang bermain-main di
tepi pantai dengan gembiranya. Kelihatan pasangan suami isteri berjalan
menyusuri pesisir pantai, menangkap gambar kenangan. Jelas sekali terpalit
kegembiraaan diwajah mereka. “Bila lah agaknya aku nak kahwin ni. Rase jealous
pula bila tengok pasangan suami isteri tu ambik gambar. Hmmm” Naim mengeluh
akan nasibnya… Dia kemudian bergerak
menuju semula ke biliknya. Ruangan bilik itu dihiasi dengan kemas, sebuah katil
“Single Bed” dan sebuah bilik tandas. Beberapa hari sebelum menuju ke sini,
Naim sudah siap siaga menempah bilik ini lebih awal.
Naim menuju ke sudut tingkap ‘sliding’ lalu
membukanya. Angin bayu meniup lembut mendayu-dayu masuk ke ruangan bilik itu. Kelihatan
dari jarak 50 meter dihadapnya, sudut pemandangan pantai yang cukup memikat hati.
Naim merenung ke luar tingkap itu, satu dua batang pokok kelapa tumbuh beberapa
tapak dari biliknya. Dedaun kelapa itu melambai-lambai riang, sangat memukau.
Naim mengambil kesempatan untuk menangkap satu dua gambar kenangan sebagai
tatapannya dikemudian hari. Naim membaringkan dirinya di tilam empuk itu,
nikmatnya terasa bila seharian penat memandu. Tingkap ‘sliding itu dibiarkan
terbuka, menjemput angin bayu itu masuk. Naim melelapkan matanya, dek kerana kepenatan
dan tiupan angin yang mendayu-dayu itu…
“Naim… Naim… Naim…”
Kelopak matanya terbuka, terdengar satu suara bisikan
halus tepat masuk ke telinga kiri, mendayu-dayu memanggil namanya. “Suara siapa
pula yang sebut nama aku ni? bisik dihatinya. Naim menoleh ke kiri dan kanan,
tapi tiada sesiapapun yang ada di ruangan bilik itu. Suara itu terus menerus
menyebut namanya. Dia bergegas merenung ke luar tingkap menggosok matanya tanpa
henti. Kelihatan seorang gadis sedang melambai-lambai kearahnya, tercegat
berdiri dihadapan pokok kepala itu. Naim melompat keluar dari tingkap itu,
tubuhnya seakan-akan dikawal oleh gadis itu. Setapak demi setapak Naim
melangkah, menuju kearah gadis itu. Dia terpukau, seperti angin yang
membisikkan nada cinta kepadanya. Naim terpaku diam, berempat mata. Gadis itu cantik
bak bidadari, rambutnya ikal mayang.
Gadis itu menyentuh tangan Naim, pipi Naim
kemerah-merahan bak bunga ros yang sedang berkembang mekar, degupan jantungnya
menjadi deras. Adakah ini yang dinamakan cinta? Gadis itu tersenyum melihat
Naim, sepasang lesung pipit menghiasi wajahnya. “Nama saya Seri, awak Naim kan?”
Ujar gadis itu. Lidahnya menjadi kelu kebisuan, mulutnya ternganga tanpa
berkata apa-apa. Seri memegang erat tangan Naim, membawanya berjalan
bersama-sama menyusuri pesisir pantai itu. Jelas terpancar di wajah Seri, satu kecantikan
yang sangat menggoda sanubari Naim. Mereka berhenti di sebuah pohon Ara tua,
dedaunnya rimbun, urat akar terurai jatuh ke tanah. Seri memeluk erat tubuh
Naim, kedinginan dakapan itu jelas terasa. “Saya sayang awak… sudi tak awak
kahwini saya?” Seri berbisik ditelinga kiri Naim. Tubuhnya menjadi kaku, perasaannya
bercampur baur. “Belum pernah dalam hidup ni, perempuan cantik datang melamar
aku! Bisik hati kecil Naim. Otot-otot dibahagian mulutnya seperti kebas, seakan-akan
ada sesuatu yang menghalangnya untuk berkata-kata. Tergoda dengan pujuk rayu
itu, Naim menganggukkan kepalanya. Tanda setuju, termeterailah ikatan antara
mereka berdua…
No comments:
Post a Comment
feel free to drop your comment